Pekan Yan

  • Wednesday, December 21, 2011
  • By Pusat Internet Desa Yan
  • 0 Comments


Pekan Yan Besar lebih dikenali sebagai Yan Besar atau “Yen Besar” adalah salah sebuah pekan kecil yang  terdapat di dalam daerah Yan. Sejarah awalnya, pekan ini hanyalah deretan bangunan kedai dan pejabat-pejabat kerajaan. Di era zaman penjajahan British, pekan ini merupakan pusat pentadbiran daerah ini. Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang ditempatkan di pekan ini menjadikan ia sebagai pusat tumpuan rakyat untuk menyelesaikan pelbagai urusan rasmi.


Antara pejabat kerajaan yang pernah ditempatkan di pekan ini ialah Balai Polis, Pejabat Pendaftaran, Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Agama, Pejabat Penghulu, Mahkamah Majistret, Pejabat Kastam, Pejabat Kemas, Pejabat Pos, Pejabat Penerangan, Pejabat Bekalan Air, dan Majlis Perbandaran Kerajaan Tempatan.

Selain itu, bandar ini juga adalah pusat pendidikan daerah ini sejak awal pentadbiran British. Antara sekolah-sekolah awal yang dibina di sini ialah Sekolah Laki-laki (sekarang Sek. Keb. Haji Nyak Gam), Sekolah Perempuan (sekarang Sek. Keb. Langkasuka), Sekolah Menengah Yan dan Sekolah Cina York Khoon (sekarang Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) York Khoon).


Di pekan ini juga, pihak British pernah menyediakan Rumah Kelab, Rumah Rehat Pegawai Kerajaan, dan panggung wayang untuk kemudahan para pegawai Inggeris yang berkhidmat di sini. Kebanyakan Rumah Rehat tersebut kini sudah dijadikan sebagai kuarters kediaman kakitangan kerajaan atau dirobohkan kerana terlalu usang untuk digunakan.

Berbanding dahulu, Pekan Yan Besar kini tidak lagi menjadi pusat pentadbiran sepenuhnya. Beberapa Jabatan Kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Pendaftaran, Pejabat Kastam telah dipindahkan ke bandar lain untuk menyeimbangkan dan memajukan lagi bandar-bandar kecil lain di daerah ini. Bagaimanapun, kesan-kesan zaman kegemilangan pekan kecil ini masih lagi dapat dilihat melalui bangunan-bangunan kedai dan pejabat kerajaan yang bercirikan zaman kolonial masih tegak dan gagah berdiri di tengah-tengah bandar ini

You Might Also Like

0 Comments