Pulau

  • Monday, September 17, 2012
  • By Pusat Internet Desa Yan
  • 0 Comments


Terdapat 4 buah pulau yang terletak hampir dengan persisiran  pantai daerah Yan, iaitu Pulau Bunting, Pulau Songsong, Pulau Telur dan Pulau Bidan. Pulau-pulau ini amatlah menarik untuk dikunjungi terutama bagi mereka yang gemarkan aktiviti “outdoor” seperti berkhemah, menyelam, memancing atau sekadar perkelahan santai. 


Perjalanan ke pulau-pula tersebut hanya mengambil masa setengah jam dengan menggunakan bot/perahu nelayan yang boleh disewa pada harga yang sangat berpatutan di jeti-jeti nelayan di Sg. Udang, Sg. Yan Kechil, Dulang Kechil atau Sg. Limau Dalam. Selain itu, pengunjung juga boleh “berjalan kaki” atau menaiki motosikal ke Pulau Bunting kerana sekitar tahun 2004, sebuah jambatan yang menghubungkan daratan dan Pulau Bunting telah siap dibina. Panjang jambatan ini lebih kurang 1.5 kilometer hasil rekaan arkitek tempatan. Bagaimanapun pembinaan jambatan ini sebenarnya untuk tujuan projek penapisan minyak yang ditangguhkan untuk sementara waktu dan bukannya untuk kegunaan awam, oleh itu penggunaan jambatan ini adalah atas risiko anda sendiri.


Bagi kaki pancing, perairan yang penuh terumbu karang ini adalah tarikan utama kerana ia menjadi lubuk-lubuk ikan karang seperti kerapu, jenahak, kerisi, tetanda, kuku dan pari. Tidak hairanlah jika majoriti pelancong-pelancong yang menyewa bot-bot nelayan di sini terdiri daripada kaki pancing yang ingin menghabiskan masa santai mereka di sini.


Selain itu, aktiviti perkhemahan dan snorkeling juga amat sesuai di pulau-pulau ini terutamanya Pulau Songsong dan Pulau Telur kerana pantainya yang berpasir bersih serta airnya yang jernih dipenuhi dengan terumbu karang. Bagaimanapun, pengunjung diingatkan supaya membawa bekalan air tawar yang mencukupi jika ingin bermalam di sini untuk beberapa hari kerana tiada sumber air tawar yang bersih di pulau-pulau ini. 

You Might Also Like

0 Comments